Mind & Body Fitness

Apakah Stres?

Stres atau tekanan adalah reaksi semulajadi kepada ketakutan, yang menggunakan tenaga untuk mencapai tahap optimum. Stres juga boleh didefinasikan sebagai sesuatu keadaan yang menyukarkan sekitaran dalam badan. Secara keseluruhannya, stres yang terlalu banyak atau terlalu sedikit meninggalkan kesan buruk kepada manusia.

Terdapat banyak faktor dan juga definisi kepada stres. Perkataan ‘stress’ berasal daripada perkataan Latin ‘stringere’ iaitu ‘untuk mengetatkan’. Menurut Hinkle (1973), perkataan tersebut digunakan untuk menggambarkan kesempitan atau kesusahan pada kurun ke 17. Pada lewat kurun ke-18, stres dikaitkan dengan tekanan, daya, ketegangan atau kemampuan yang kuat.

Stres adalah kesan daripada persepsi individu yang dia tidak mempunyai sumber untuk menangani situasi dari masa silam, kini dan masa hadapan. Stres disebabkan oleh ketakutan dan reaksi kepada ketakutan adalah dari naluri dan persediaan automatik kepada keadaan lawan atau lari (fight or flight). Dalam erti kata lain, stres adalah aspek kehidupan yang boleh mendatangkan faedah apabila ia memberi motivasi, menggalakkan perubahan atau memberi inspirasi, tetapi ia boleh juga mendatangkan keburukan.

Stres yang selalu dikatakan dan merendahkan tahap fungsi tubuh badan, adalah perasaan tertekan yang dialami apabila seseorang merasakan kehendak atau tuntutan di atasnya (stressor) melebihi sumber yang ada untuk mengatasi kehendak tersebut.

Reaksi terhadap stres adalah biological, reaksi automatik primitive dalam persediaan untuk ‘lawan atau lari’. Keadaan stres ini mengubah metabolisme individu untuk menangani situasi terancam.

Stres disebabkan oleh reaksi kepada ancaman. Stres meningkatkan prestasi ke tahap optimum supaya individu dapat menyesuaikan diri kepada pengekalan hidup jangka pendek. Stres menggunakan adrenalin dalam tubuh untuk meningkatkan kepekaan, prestasi dan tenaga. Dalam situasi stres normal setiap hari, seseorang berasa seronok atau berpuas hati apabila masalah dapat diselesaikan.

Walau bagaimanapun, apabila stres berlanjutan (stres kronik), prestasi individu menurun dengan pantas dan disusuli dengan kesakitan atau kematian.

Stres kronik adalah satu fenomena yang terkumpul dalam satu jangka hayat atau dalam beberapa minggu. Selalunya stress kronik tidak dapat dikesan. Dalam tempat kerja, stres kronik biasanya disebabkan oleh cara kerja yang menggalakkan persaingan dalam jangka masa terdekat.

Individu terpaksa mencari mekanisme untuk mengatasi tekanan dan berehat dengan alcohol, makanan, dadah, seks dan permainan berbahaya atau membawa penyakit.

Kesan negative stres jelas dilihat dari segi penyakit, tidak hadir ke tempat kerja, merokok, dan penggunaan alkohol secara berlebihan. Kesan yang kurang jelas adalah seperti membuat keputusan yang kurang tepat, politik dalaman yang negatif, penurunan kapasiti dan sikap buruk.

Dalam sesebuah organisasi, ketidakhadiran akibat stres boleh menyebabkan kesan ‘domino’, di mana pekerja-pekerja yang hadir turut mengalami stres kerana mereka terpaksa menyiapkan kerja mereka dan beban rakan sekerja yang tidak hadir.

Individu boleh mengatasi stres dalam masa yang singkat, tetapi jika keadaan berlarutan (stres kronik), penyakit atau kerosakan boleh terjadi. Tubuh diibaratkan seperti mesin yang bekerja tanpa rehat. Apabila mesin dikerah bekerja ke tahap yang terlalu tinggi, ia menjadi kurang berkesan, dan rosak pada masa yang tidak dijangka.


Stres Yang Berkaitan Dengan Penyakit

Stres yang berkaitan dengan penyakit terdapat dalam pelbagai bentuk dan menjadi factor utama yang mengganggu kerjaya, contohnya strok, lemah jantung dan gangguan mental. Individu yang menjadi lemah kerana stres kronik adalah lebih terdedah kepada penyakit yang lebih serius kerana sistem pertahanan badannya lemah apabila metabolisme dalam keadaan keadaan tertekan.

British Heart Foundation menjangka 21% daripada keseluruhan penyakit di United Kingdom disebabkan oleh penyakit jantung yang berkaitan dengan stres (Cartwright & Cooper, 1994). Syarikat-syarikat di United Kingdom mempunyai 10,000 orang pekerja, mengalami 73,000 hari kerja hilang, kematian 42 orang pekerja setahun (berumur 35-65 tahun) dan kehilangan harga produksi sebanyak 2.5 juta setahun.

Kemampuan individu, kumpulan dan organisasi besar untuk mengatasi dan terus maju bergantung kepada kemampuan untuk mengimbangi prestasi berkesan ke tahap optimum.


Reaksi Kepada Stres

Seperti yang dinyatakan, apabila seseorang mengalami stres, tubuhnya akan bergerakbalas terhadap stimulasi ketakutan, menyediakan diri untuk ‘lawan atau lari’, yang menyebabkan peningkatan tahap adrenalin dalam sistem pengaliran darah. Gula, kolesterol dan asid lemak dibebaskan dalam darah, tekanan darah dan kadar denyutan jantung meningkat. Dalam masa singkat, tiada kesan dapat dilihat dan individu dapat berehat

Keadaan stres yang berlarutan boleh menyebabkanpenyakit kerana perubahan metabolisme berlanjutan tanpa rehat atau tidur yang mencukupi untuk tubuh dan otak. Kitaran yang berbahaya untuk kesihatan boleh terjadi dalam keadaan tubuh yang menghasilkan daya kerja yang banyak untuk prestasi yang semakin berkurangan. Penyelidikan dan kajian tentang kitaran stres adalah seperti berikut:

    Otak bahagian hadapan menerima isyarat bahaya dari mata, telinga dll
    Hypotalamus dalam otak merangsang kalenjar pituitari membebaskan hormon
    Deria-deria terangsang contohnya pupil mata membesar
    Kadar pernafasan meningkat dan menjadi lebih dalam
    Kadar denyutan jantung dan tekanan darah meningkat
    Hati membebaskan gula, kolesterol, asid lemak dalam darah
    Penghadaman tidak aktif, pembukaan kepada usus dan hempedu mencerut
    Kalenjar-kalenjar adrenal membebaskan hormone adrenalin, noradrenalin, cortisone yang menyebabkan kadar perpeluhan dan pembekuan darah meningkat

Dalam erti kata lain, gerakbalas tempoh singkat individu adalah dalam keadaan bersedia, sebagai contoh; mata besar, mulut kering, lubang hidung besar, muka pucat, tangan berpeluh, bulu roma menegak, kadar denyutan jantung meningkat, kerap membuang air kecil, otot menegang, kurang peka kepada kesakitan dan merasa sejuk.

Gerakbalas jangka panjang individu adalah seperti kehilangan rambut, migraine, strok, sistem imunisasi yang kurang berkesan, merasa gementar, tidak boleh tidur nyenyak, sakit leher, bahu, belakang dan kaki, asma, penyakit kulit, tekanan darah tinggi, sakit jantung, kanser, ulser, ketidakcernaan, ‘Irritable Bowel Syndrome’, kemandulan dan gangguan haid


Dr. A Wahab Kosai

Mind & Body Fitness